Raikan hati mu bila kala kebahagian milikmu....

Thursday, 26 April 2012

Jalan Yang Ku Temui....


Bibir terkunci , lidah kelu untuk memulakan bicara, hanya hati beria-ria untuk berkata-kata. Peluh memandikan seluruh badan, angin kipas tidak dirasai hanya debar merentasi titian situasi pada saat dan ketika itu. Kaki mengajak untuk berlari sejauh mungkin tapi pujuk kata hati yang kecil ini ingin mencuba, dahi kian dilimpahi dengan lautan peluh, debar makin kencang, sekencang ribut taufan melanda begitu kuat permasalahan yang timbul dalam situasi itu. Sampul surat dibuka dengan  hati-hati, dibaca, direnung, dihayati setiap bait-bait ayat dan kata-kata yang terukir di dada surat tersebut.
                                                         
Bismillahirahmanirahim……

D
engan lafaz hati yang tenang dalam membaca, salam sayang, salam rindu dari aku yang kian merinduimu terlalu jauh untuk kita bersua muka. Justeru itu, aku mengutuskan surat ini untuk tatapan dan santapan mu ketika ini. Ingin ku peluk, ku cium dahi mu, kerana membuak-buak kerinduan ini bila menjelma, terlalu sukar untuk aku singkir dan ku padamkan nama mu setelah bertahun-tahun  kita bersama. Masih lagi ku ingat  ketika dalam kelas, terlalu akrab hubungan kita sehingga ada cebis-cebis cemburu dari rakan-rakan sekelas kita. Mana tidak hubungan kita terlalu mesra kerana kita punya dunia kita, makan, minum bersama, main bersama, belajar bersama dikatakan kita “kembar siam”. Aku masih ingat hari mula-mula kita bersua muka masing-masing punya ego, sikap yang berbeza namun aku kadang-kadang ketawa sendirian  terkenang akan perihal diri kita, mana tidak pada awal kita sekeras-keras batu , akhirnya menjadi selembut-lembut kapas bila terkena luntur dek serasi antara kita. Kerana keserasian kita terus menjalin ikatan hubungan sehinggakan engkau mulai menanam perasaan cemburu dalam diri mu bila ada lelaki yang ingin mendekati diri ku, tapi aku tetap dengan cara aku. Aku katakan aku ada kamu, tetapi engkau terus menerus mencurigai aku.
            Engkau tega dengan cara mu setelah puas ku pohon pucuk kemaafan tapi engkau keras seperti batu, engkau diam seribu bahasa, engkau tunduk bila berbicara. Aku lemas dalam nafas ku atur sendiri, aku kelam dalam cerah, aku buta dalam celik, aku keliru dengan diri ku sendiri, aku hilang arah bila engkau makin menjauh. Ya aku mulai faham kerana kasih, kerana sayang terbina oleh atas dasar kesetiaan aku sanggup melupakan Azmi yang sebenarnya hati aku mulai tercuit oleh keramahan, keikhlasan untuk mengenali aku, tapi dalam masa yang sama aku sayang engkau, aku tidak dapat hidup tanpa engkau di samping aku, ingat lagi saat dan ketika kita sedang mandi-manda ada sekumpulan “mat-mat bola sepak” melalui anak sungai yang sedang kita mandi saat itu engkau penyelamat aku dan teman-teman ku yang lain, dalam hatiku saat itu aku bangga ada kamu, bahagia engkau mempertahankan aku dari diganggu oleh mereka. Engkau tunjuk kebolehan engkau dalam pergerakan engkau, aku mulai yakin engkau milik ku yang boleh menjaga aku dalam apa jua sekali pun, aku tahu engkau hanya ada aku selain ibubapa mu bercerai dan meninggalkan engkau di rumah anak asuhan, di situ engkau mula membina benteng kelakian dalam jiwa mu bagi engkau lelaki itu lemah, lelaki itu penakut tidak punya perasaan dalam bab percintaan malah cetek dalam perkahwinan aku makin mempercayai bait-bait kata mu itu, malah dalam jiwa aku jua ada sekumit perasaan yang engkau dendangkan untuk aku.
            Hari-hari seterusnya, kita menjalin hubungan seperti biasa sehinggakan kita ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di tempat yang sama. Aku mulai riang, mulai bangga kerana engkau ada di samping aku. Pada tahun pertama di pusat pengajian, semua rakan sekuliah kita hairan dengan kemesraan kita, aku tidak hairan syam, kerana aku gembira engkau ada bersama dengan ku untuk hari-hari yang mendatang sehinggakan mana-mana lelaki yang ingin mendekati aku tidak berani kerana kekasaran dan keberanian yang ada dalam diri mu itu. Dengan sikap mu yang kuat cemburu dan panas baran itu aku mulai hati-hati bila bersama dengan mu. Setiap belaian mu, kemanjaan mu itu hati aku tertutup untuk mana-mana lelaki yang ingin mendekati aku, masih lagi segar dalam ingatan atas satu kejadian yang menimpa engkau di mana engkau dimarahi oleh pengarah kumpulan kita kerana kedatangan engkau lewat dari masa yang dijanjikan, malah dalam masa yang sama pengarah tersebut ada menaruh hati terhadap aku. Engkau langsung dengan kepala batu engkau itu sehinggakan setiap kali perjumpaan engkau tidak hadir, atas kelakuan engkau itu membuat aku dilanda kerisauan. oleh sebab itu, aku yang ingin menjaga hati mu turut tidak menghadirkan diri dalam setiap perjumpaan, walhal aku tahu setiap perjumpaan amat penting, malah jawatan yang aku sandang juga  penting dalam sesebuah organisasi. Kerana kasih dan sayang aku mengikut cara dan kata-kata mu yang mengatakan dalam hubungan harus ada pengorbanan untuk meraih kebahagiaan.
            Setelah hadirnya penghujung semesta, aku turut diundang untuk pulang ke rumah ku. Alangkah terkejutnya aku bila ibu dan walid ku menyuarakan hasrat hati murni mereka dan menetapkan tarikh perkahwinan untuk menamatkan usia daraku. Pada saat itu lidah ku terkunci oleh kebisuan mulut ku sendiri, aku ibarat ditelan mati mak, di luah mati bapak, aku tersepit  di tengah kebuntuan situasi ketika itu. Aku hormat keputusan ibu dan walid ku, aku sayang kehadiran mu yang mengubah hidup ku, terlalu sukar untuk aku membuat keputusan. Kata ibuku, “ langsungkan perkahwinan ini adalah untuk kebaikan diri ku sendiri, menjaga keaibanku, menjaga akhlakku dari terpesong”. Ya ALLAH baru aku sedar, aku terpesong jauh dari landasan hidupku. Aku sesat dalam terang, aku buta dalam celik, aku bodoh dalam tindakan, besarnya dosa aku yang terpaksa aku pikul, kerdilnya aku pada saat itu baru aku mulai meraba-raba mencari  sinar dan hidayah untuk diriku sendiri. Samsuriani atau nama panggilan engkau syam, kita sebenarnya terpesong jauh, kita sesama sejenis, kita terperangkap dek perasaan dan nafsu sendiri, kita homoseksual samsuriani. Menangis aku saat dan ketika lafaz aku terima nikahnya dan berlangsungnya majlis tersebut.  Sebak, sendu, malu, terharu menjadi satu, hatiku. bila kucupan singgah didahiku di cium oleh lelaki yang sah milik aku, entahlah samsuriani aku keliru saat itu, aku bangun, aku tinggalkan majlis itu, aku berlari sekuat hatiku, aku tidak tahu ke mana arah untuk ku tuju, aku buntu, aku buntu syam, aku lemah dengan diri ku sendiri, aku kosong tanpa pegangan. Tapi menerima panggilan dari lelaki yang bergelar suami hatiku kembali menguntum, mekar dek suaranya, manis sapaanya, halus budi bicaranya. Kini baru ku sedar Allah S.W.T itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Pengampun dan lagi Maha Mengetahui atas apa yang dijanjikan olehnya. Oleh itu Dia jadikan kita untuk berpasangan, usah kita melawan takdir yang tersurat lagi jelas bila difahami, jangan kita cuba mencari bala dek kesombongan dan keegoan kita sendiri membinanya atas dasar nafsu semata-mata, ini kerana ianya kerja syaitan yang dilaknat oleh Allah S.W.T yang sememangnya untuk menyesatkan umat manusia yang menjadikan nafsu sebagai raja dalam dirinya. Kini aku mulai sedar agung ciptaan-nya, indahnya bila kita benar-benar menemui jalan yang lurus, damainya bila berada di bawah payung rahmat-NYA. Cinta milik Azmi kini ku jaga, ku belai dengan sentuhanku, kubajai dengan kemesraanku .

Samsuriani engkau tahu Azmi yang dulu aku tolak cintanya kerana kamu, kini ia menjadi milik aku. Azmi seorang yang tidak jemu untuk mencintaiku  sehingga dia mengambil tindakan untuk melamar aku dijadikan isterinya setelah dia mengetahui kelakuanku, besar pengorbanan Azmi terhadapku, kini dia suamiku dan juga syurgaku. Pada awalnya aku menolak untuk disentuh cintanya, aku meragui kasihnya tapi dengan kesungguhan tanpa paksaan, dia mengajar aku untuk menyemai benih cinta, kasih dan sayang, kesetiaan dalam berumah tangga. aku menepis dengan keegoan ku, aku bodoh syam dengan jelas dia pamerkan riak wajah cinta, kasih sayangnya pada ku tanpa keraguan. Dengan berkat, doa dan restu dari orang tua yang menyatukan atas dasar yang suci akhirnya hubungan kami kian jernih bila hatiku diadun dengan nilai-nilai yang murni, Ya Allah lembutnya sentuhan-MU. Aku kini menerima Azmi dengan sepenuh hatiku, aku bahagia menjadi miliknya, aku bahagia menjadi kekasihnya, aku bahagia menjadi sahabatnya. Samsuriani indahnya bila kita menemui cinta hakiki, iaitu mencintai Pencipta kita, Dia tidak pernah melupakan kita, Dia juga sentiasa bersama dengan kita, kita yang silap melupakan Dia bila kita senang, melupakan Dia bila kita alpa dengan kecantikan duniawi sehingga kita rabun tentang kewujudan Dia sebagai Tuhan kita. Samsuriani, aku kini sedang mempelajari ilmu agama di samping suamiku yang menjadi pemimpin aku dan menjadi cahaya untuk aku bila dalam kegelapan malah suamiku juga banyak mencurahkan ilmu terhadapku tanpa jemu.
            Selemah-lemah kita perempuan, akhirnya kita memerlukan pasangan yang rela bersama dengan kita dalam senang, dalam sukar , dalam apa jua keadaan sekali pun. Kejadian manusia yang dijadikan adalah untuk berpasangan, jadi aku ingin mengajakmu agar bersama-sama dengan ku kembali ke pangkal jalan, ubahlah cara hidupmu dengan agamamu, kemudikan hatimu dengan  kalimah-kalimah suciNYA,halus,lembut susun atur ayat-NYA, indah alunannya, takut akan peringatannya. Jadikan agamamu sebagai tiang hidupmu, aku di sini mendoakan agar kita semua selamat dunia dan akhirat.
Peluk, cium, kasih dan sayang aku pohon seribu kemaafan dek kesalahan, kekasaran yang pernah menguris, mencela perasaan engkau ketika kita bersama.

Salam sayang dan kasih.

No comments:

Post a Comment